Monday, May 19, 2008

INSAN YANG CERDIK

MANUSIA CERDIK IALAH MEREKA YANG SENTIASA MENGINGATI MATI.
Setiap yang bernyawa pasti akan mati dan tidak akan terkecuali hatta Malaikat Maut Izrail a.s jua akan dimatikan oleh Allah s.w.t. Firman Allah Taala yang bermaksud :-

“Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.”

Oleh yang demikian kita hendaklah senantiasa mengingati mati sekalipun ada di kalangan manusia yang takutkan mati. Orang-orang yang yakin dan beriman kepada Allah dan Rasul-Nya senantiasa mengingati mati. Mereka adalah golongan yang cerdik dan pandai di mana Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

Abdullah bin Umar r.anhuma berkata, bahawa ketika sedang duduk-duduk di sisi Rasulullah s.a.w lalu datang seorang lelaki memberi salam dan bertanya kepada Rasulullah s.a.w: “siapakah yang lebih utama (lebih baik) di kalangan orang yang beriman?”. Jawab Rasulullah s.a.w: “orang yang lebih baik di kalangan orang beriman ialah mereka yang berakhlak mulia”. Kemudian lelaki itu bertanya lagi: “Siapakah orang yang paling cerdik di kalangan orang yang beriman?”. Jawab Nabi s.a.w : “Orang yang paling cerdik ialah mereka yang banyak mengingati mati, dan banyak membuat persiapan untuk menghadapi kematian”.

Orang yang banyak mengingati mati bererti akan sentiasa mengawasi diri dari melakukan dosa dan maksiat seperti berjudi, berzina, mengumpat, meninggalkan sembahyang dan puasa, menipu dan sebagainya kerana dosa dan maksiat akan membawa akibat buruk di alam barzakh dan lebih-lebih lagi di alam akhirat.

Setiap apa yang berlaku akan sentiasa merujuk terlebih dahulu kepada hukum Allah Taala, bukan seperti pepatah melayu ‘tepuk dada Tanya selera’ yang membawa erti hidup di bawah dorongan nafsu. Sebaliknya orang yang sentiasa mengingati mati akan sentiasa bertanya kepada imannya sendiri iaitu ‘tepuk dada Tanya iman’.

Andaikata dia seorang Ketua Rumahtangga dan sentiasa mengingati mati maka dia tidak akan mengabaikan dari melaksanakan tanggungjawabnya, memimpin anak-anak dan isterinya menurut petunjuk iman.
Andaikata dia seorang peniaga yang sentiasa mengingati mati, nescaya dia akan menjadikan dirinya tidak menipu dalam sukatan, tidak menyembunyikan kecacatan barang yang diniagakan, tidak menindas pengguna dengan mengambil keuntungan yang berlebihan dan sebagainya.

Andaikata dia seorang Pemimpin Negara dan Masyarakat yang sentiasa mengingati mati nescaya dia tidak akan menggunakan kekuasaannya untuk memuaskan nafsu untuk mengaut kekayaan dari harta Negara dan rakyat dengan memperalatkan kekuasaan yang dimiliki, untuk kepentingan diri dan kelompoknya.

Natijah dari mengingati mati itu akan melahirkan manusia yang berdisiplin tinggi, berakhlak mulia, tidak menipu, yakin kepada hukum Allah Taala, yakin bahawa rezeki adalah kurniaan Allah bukannya dari manusia, berani menyatakan kebenaran meskipun seorang diri, kerana kebenaran itu adalah dari Allah Taala dan sebagainya.

Orang yang mengingati mati akan sentiasa berusaha menambahkan ilmu terutamanya tentang ilmu yang berhubung dengan Allah Taala, kerana asas kepada keimanan ialah ilmu. Sebab itulah Allah Taala berjanji akan mengangkat darjat orang yang berilmu. Firman Allah Taala Yang bermaksud:

“ Nescaya Allah akan meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antaramu dan orang yang berilmu pengetahuan beberapa darjat.”

Orang yang tidak pernah dan lalai daripada mengingati mati adalah orang yang dangkal ilmu pengetahuan dan lemah, terutama dalam aspek kerohanian. Golongan tersebut sering menjadi tunggangan kepada hawa nafsunya sendiri, hidup dalam suasana lalai dan terpesona dengan kelazatan dunia yang bersifat sementara, sedangkan kesenangan akhirat itulah yang kekal. Jika ada manusia yang tidak memilih kebahagian yang kekal, nescaya mereka itu adalah terdiri dari orang yang bodoh dan dungu. Wallahu ‘Alam.

Semoga Allah SWT menunjukkan kepada kita sebaik-baik jalan dan petunjuk yang lurus.

TAFSIR AL-QUR’AN

. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sebenarnya maut Yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang mengetahui Segala Yang ghaib dan Yang nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa Yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)". : Munafiqun 8.

No comments: