"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman." [Ali-Imran:139]
Ayat ini diturunkan kepada Rasulullah SAW oleh Allah SWT sebaik sahaja selepas umat Islam mengalami kekalahan dalam peperangan Uhud dan kembali ke Madinah dalam keadaan berdukacita dan sedih. Ia diturunkan untuk memberi semangat kepada orang-orang yang beriman selepas kejayaan yang berada dalam genggamannya, telah ditarik daripada mereka dan ditukarkan dengan kekalahan
Dan kenapa Rasulullah SAW tidak boleh bersedih selepas kekalahan tersebut? Tujuh puluh dua dari umat terbaik di dunia ini pada masa itu telah terbunuh (syahid) dan sebilangan besar dari kalangan mereka mendapat cedera. Hatta Rasulullah SAW sendiri telah mengalami kecederaan yang serius sehingga darah mengalir dari muka baginda dan baginda bersabda semasa menyapu darah dari dagunya: "Amat besar kemurkaan Allah terhadap mereka yang telah melumuri muka Rasul-Nya dengan darah."
Walau bagaimanapun, kekalahan ini hanyalah bersifat sementara sahaja agar orang-orang yang beriman dapat merenung dan memikir tentang sebab kekalahan tersebut, sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat seterusnya dari surah Ali-Imran. Kesalahan dan dosa yang telah dilakukan oleh sebilangan kecil dari orang-orang yang beriman telah menghalang kemenangan yang sepatutnya dinikmati oleh seluruh tentera Islam.
"Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (kafir) itupun (pada perang Badar) mendapat luka yang serupa. Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu Kami pergilirkan diantara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah membedakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) supaya sebagian kamu dijadikan-Nya (gugur sebagai) syuhada'. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim. Dan agar Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir." [Ali-Imran:139]
Apabila Umar bin Al-Khattab (RA) mengirim bala tentera di bawah pimpinan Saad bin Abi Waqqas (RA) ke peperangan al-Qadisiyyah, beliau telah menasihati Saad: "Takutlah akan dosa kamu lebih dari musuh kamu kerana dosa kamu lebih merbahaya kepada kamu dari musuh kamu, Kita, orang-orang yang beriman akan hanya memperolehi kejayaan ke atas musuh kita kerana dosa mereka lebih besar dari kita, bukan di atas sebab lain. Jika dosa kita sama dengan dosa musuh, maka mereka pasti akan dapat mengalahkan kita kerana jumlah mereka yang ramai dan sumber mereka lebih banyak."
Dan dengan itu, maka Saad (RA) meneruskan peperangan menentang tentera Parsi dan berpegang kepada nasihat Khalifahnya, beliau telah memenjarakan Abu Mahjan Ath-Thaqafi yang didapati meminum arak agar kehadirannya tidak akan menangguhkan kejayaan tentera Islam. Sehingga Abu Mahjan melahirkan perasaan sedihnya di tempat kurunganya, lalu beliau mengarang sebuah sajak yang menyentuh perasaan isteri Saad (RA) sehingga beliau membebaskan sementara Abu Mahjan agar beliau dapat menyertai peperangan bersama-sama saudaranya yang lain.Lalu Abu Mahjan keluar ke medan pertempuran dengan menunggang kuda milik Saad (RA) kerana pada ketika itu Saad sedang demam. Abu Mahjan telah berjuang dengan penuh keberanian sebelum pulang ke tempat kurungannya di waktu petang dan memakai sendiri ikatan pada kakinya. Kejadian tersebut berterusan selama tiga hari sehingga Saad (RA) mendapat tahu tentang keberanian Abu Mahjan, beliau membuka ikatan Abu Mahjan sambil berkata: "Demi Allah! saya tidak akan mengurung engkau lagi kerana meminum arak!" Untuk itu Abu Mahjan menjawab, "Demi Allah! Aku tidak akan menyentuh arak lagi selepas hari ini!"
Mereka memperolehi kejayaan yang besar dan Saad (R.A) melantik seorang sahabat yang bernama Salman al-Farisi (RA) sebagai pemimpin baru Parsi, yang menerima gaji sebanyak satu dirham sehari.
Kemenangan dan kekalahan, keuntungan dan kerugian, kejayaan dan kemunduran bukanlah disebabkan oleh wang yang banyak, sumber, jumlah atau kepandaian. Sebaliknya ia disebabkan oleh ketaatan dan keingkaran kepada Allah SWT. Semakin banyak kita mentaati Allah, samada secara individu atau secara kolektif, maka semakin hampir kita kepada kejayaan dan kemenangan yang dianugerahkan oleh Allah SWT.
Semakin ingkar kita terhadap Allah SWT, maka semakin jauh kita dari mencapai kemenangan. Dosa seorang Islam akan menangguhkan kejayaan seluruh umat Islam. Amat mudah untuk menyalahkan musuh-musuh Islam seperti Bush dan Blair, Barat, golongan Kuffar atau sesiapa sahaja di atas kedukaan dan kerisauan kita. Kita melihat kejahatan dan penipuan musuh sebagai penyebab kekalahan kita. Tetapi tidak mudah untuk kita mencermin diri dan menuding jari kepada diri kita sendiri.
Lihatlah pada diri kita sendiri dan keadaan kita yang amat menyedihkan ini. Kita telah meninggalkan solat atau kita telah melenggah-lenggahkannya atau melakukannya dalam keadaan tergesa-gesa. Kita begitu kedekut untuk mengeluarkan zakat, apatah lagi untuk memberi sumbangan atau menderma. Berapa ramai dari kalangan kita yang tinggal di istana-istana sedangkan jiran kita masih lagi kelaparan. Kita lebih rela pergi bercuti ke luar negara daripada menunaikan haji. Kita juga sanggup pergi mengerjakan umrah setiap tahun sedangkan anak-anak jiran kita masih tidak berpakaian. Kita mengabaikan kebajikan anggota yang dilanda kedaifan, kesukaran dan kemiskinan.
Monday, May 26, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment