Monday, May 26, 2008

Memahami Perjuangan Islam

MUQADDIMAH
Perjuangan Islam bermaksud perihal umat Islam berusaha mempertahankan agamanya dan mengatasi pihak-pihak yang menentangnya. Oleh kerana perkataan juang itu sendiri bermaksud melawan, maka persoalan perjuangan Islam itu menggambarkan betapa unsur perlawanan dn persaingan adalah satu perkara rutin dan lumrah yang pasti ada di dalam Islam dah dihadapi oleh umat Islam tidak kira bila atau di mana mereka berada.
Mahu tidak mahu, setiap muslim terpaksa menghadapi reality perlawanan atau perjuangan sama ada dalam bentuk perseorangan atau perkumpulan, hebat atau hanya pertentangan kecil mengikut tahap keimanan seseorang.
Demikianlah, sejak generasi Islam yang pertama pada zaman Rasulullah s.a.w. lagi, umat Islam telah dihadapkan dengan suasana perjuangan yang penuh dengan tekanan dan ujian.
PERJUANGAN DAN JIHAD
Di dalam bahasa Arab, perkataan yang paling sesuai dan sinonim dengan perjuangan adalah jihad. Jihad adalah kata terbitan (masdhar) yang berasal dari perkataan jahada bererti bersungguh-sungguh dan berpenatan mengerjakan sesuatu. Jahada pula bererti memerah tenaga.Jahada al-‘aduw bererti memerangi musuh.
Dari segi bahasa, jihad membawa pengertian berjuang berhabis-habisan untuk meningkatkan sesuatu matlamat. Al-Jihad menurut kebanyakan kamus bererti perang mempertahankan agama.
Dalam konteks Islam, pekerjaan yang paling bersungguh dan paling banyak risiko adalah peperangan atau usaha menegakkan kalimah Allah di hadapan ancaman pemerintah yang zalim sebagaimana dinyatakan dalam hadith Rasulullah s.a.w. yang berbunyi:
Maksudnya:
Daripada Abu Sa’id al-Khudri katanya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang benar di hadapan pemerintah yang zalim.”
Sebab itulah kebanyakan pentakrifan jihad pada zaman silan lebih merujuk kepada aspek peperangan.
Contohnya, ulama’ Mazhab Syafie memberi definisi jihad sebagai perang ke atas orang kafir untuk memenangkan Islam.
Manakala ulama’ Mazhab Hanafi pula mendefinisikannya sebagai menyeru kepada agama yang sebenar dan memerangi orang yang tidak menerimanya, dengan harta dan nyawa.
Imam Hassan al-Bana pula menyatakan bahawa:
“Islam mewajibkan jihad ke atas penganut-penganutnya bukanlah bertujuan untuk mencari permusuhan di antara sesama manusia. Bukan pula untuk membuka jalan ke jurang tamak dan haloba kepada harta benda dunia secara merampas dengan kekerasan. Sebaliknya jihad itu diwajibkan semata-mata bertujuan untuk menjamin keamanan dan perdamaian dengan menunaikan perutusan agama yang diamanahkan Allah ke atas pundak tiap-tiap muslim. Amanah menyampaikan risalah agama yang memberi petunjuk kepada manusa menuju ke arah pintu gerbang keadilan dan kebenaran.”
Persoalan mengenai perjuangan dalam Islam juga merangkumi usaha umat Islam mengembangkan agama ini dengan menjalankan gerakan dakwah ke merata tempat di serata pelusuk dunia.
Lalu, di dalam usaha berdakwah itu,mereka menghadapi sekatan, ancaman dan cabaran yang datang dari kebanyakan orang- orang kafir serta sasaran dakwah yang tidak bersikap terbuka untuk mendengar dahulu seruan Islam.
Di dalam suasana ini, timbul perlawanan dan perjuangan menentang halangan, sekatan dan ancaman dari musuh dakwah.
Namun dalam konteks zaman mutakhir ini, perjuangan Islam khususnya dengan pengertian jihad, merangkumi aspek yang luas dengan tidak tertumpu kepada aspek peperangan bersenjata sahaja.
Bahkan ia lebih banyak cenderung kepada persoalan memperbaiki umat dan mempertahankan hak-hak umat Islam sama ada melalui gerakan bersenjata, penentangan terhadap pemerintah yang tidak melaksanakan Islam dengan saluran pilihanraya, penulisan dan sebagainya.
Pokoknya, di dalam usaha tersebut pada sepanjang zaman, mereka akan menghadapi cabaran dan tentangan dari musuh yang merupakan sebahagian dari ujian Allah s.w.t. Cabaran dan tentangan tersebutlah yang melahirkan reaksi dalam bentuk perjuangan
AQIDAH ASAS PERJUANGAN
Islam meletakkan aqidah sebagai asas utama dalam perjuangan. Bahkan ia merupakan rahsia kekuatan Islam sepanjang zaman. Dengan kata lain, Islam tidak menjadikan isu sebagai landasan utama kerana persoalan aqidah adalah bersifat menyeluruh dan evergreen.
Perjuangan yang berasaskan isu akan tamat dengan selesainya isu berkenaan. Sebaliknya Islam sentiasa mengetengahkan isu-isu yang berpaksi pada aqidah untuk menjelaskan tuntutan sebenar tauhid.
Kalimah syahadah La ilaha illa Allah yang menjadi tema tauhid itu sendiri adalah suatu cetusan revolusi atau perubahan besar -besaran di dalam jiwa dan kehidupan manusia kerana ia bererti pengakuan kepada kekuasaan menghukum dan memerintah tertinggi yang disrahkan hanya kepada Allah.
Ia adalah cetusan revolusi terhadap kuasa duniawi yang telah merampas suatu sifat khusus Tuhan yang utama iaitu menentukan perjalanan dan peraturan hidup manusia . Islam adalah revolusi terhadap kenyataan hidup yang bersandarkan kepada rampasan hak Tuhan itu dan juga merupakan suatu pukulan maut ke atas sebarang peraturan dan kekuasaan yang tidak diredhai Allah.
Sebaliknya Islam menuntut manusia tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t. selaras dengan pengertian kalimah Islam sendiri.
Syed Qutb menyifatkan Islam merupakan revolusi di dalam kehidupan manusia. Dalam hubungan ini Syed Qutb menyatakan:
“Seorang yang menganut Islam itu sebenarnya telah melucutkan dari dirinya segala sesuatu dari zaman lampaunya di alam jahiliyah. Dia merasakan ketika dia mula menganut Islam bahawa dia memulakan zaman baru dalam hidupnya; terpisah sejauh-jauhnya dari hidupnya yang lampau di zaman jahiliyah. Sikapnya terhadap segala sesuatu yang berlaku di zaman jahiliyah dahulu ialah sikap seorang yang sangat berhati-hati dan berwaspada.”
Ibn Taimiyah pula menyatakan apabila ucapan La ilaha illa Allah itu merupakan ucapan yang sebenar,jadilah orang yang mengucapkannya itu ahliNya dan tergolong dalam golonganNya (golongan Allah), manakala orang yang mengingkarinya adalah musuhNya dan orang-orang yang dimurkaiNya.
Risalah Islam yang disebarkan melalui dakwah yang telah dimulakan oleh para nabi itu sendiri bersifat menyeru kepada Allah dan menentang taghut iaitu segala perkara atau sembahan yang bersifat merampas hak-hak ketuhanan sama ada dari sudut ibadah, undang-undang dan pemerintahan. Dalam perkara ini, Allah s.w.t. berfirman dalam Surah al-Nahl ayat 36 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul kepada setiap umat (untuk menyerukan): “Sembahlah Allah dan jauhilah taghut.”
Peranan utama para rasul yang diutuskan Allah adalah membawa petunjuk kepada hambaNya. Ia terdiri dari dua perkara penting yang saling perlu-memerlukan dan menyempurnakan di antara satu sama lain iaitu:
• Menyeru supaya beribadah dan mengabdikan diri hanya kepada Allah yang Esa
• Menyeru supaya menjauhi taghut
Jelas bahawa seruan Islam bukan setakat mengajak kepada kebaikan dengan menyembah Allah dan mentaatinya, tetapi dalam masa yang sama hendaklah menjauhi dan menentang taghut.
MATLAMAT PERJUANGAN ISLAM
Matlamat utama perjuangan Islam adalah untuk meninggikan kalimah Allah iaitu dengan terlaksananya syariatNya dan tunduknya segala fahaman, agama dan ajaran yang lain. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy’ari r.a. katanya: Sesungguhnya seorang lelaki Badwi iaitu Arab desa datang kepada Nabi s.a.w. dan bertanya: “Wahai Rasulullah! Ada seseorang yang berperang untuk mendapatkan harta rampasan, ada juga seseorang yang berperang untuk membuktikan kejantanannya dan ada pula seseorang yang berperang untuk melihat kemampuannya. Oleh itu, siapakah di antara mereka yang berada di jalan Allah?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Barangsiapa yang berperang demi menegakkan kalimah Allah, maka beliaulah yang berada di jalan Allah.” (Riwayat Muslim)
Allah s.w.t. sendir menuntut agar agamaNya ini siletakkan mengatasi segala ajaran yang lain. Tuntutan ini jelas dinyatakan oleh Allah ketika menjelaskan tentang matlamat pengutusan Rasulullah s.a.w. kepada manusia. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Dialah (Allah) yang telah mengutus rasulNya dengan hidayah petunjuk dan agama yang sebenar supaya dimenangkanNya atas segala agama walaupun dibenci oleh orang-orang musyrikin.” (al-Saff : 9)
Al-Maududi menyatakan:
“Sebagaimana halnya dengan din-din lainnya, din Allah ini juga menuntut bahawa seluruh wewenang mesti diserahkan kepadaNya semata-mata. Sedangkan semua din yang berlawanan dengannya mesti ditundukkan. Kalau tidak, ia akan dapat menuntut kepatuhan rakyat, kerana dalau din ini telah berlaku, maka tidak akan ada lagi din kerakyatan, kerajaan atau din kaum komunis.”
Tuntutan ini tidak bererti bahawa Islam bertindak memaksa manusia memeluk Islam dan menghapuskan terus ajaran lain secara kekerasan kerana kekerasan dan paksaan tidak akan menghapuskan apa yang ada dalam hati dan fikiran manusia. Ini dijelaskan dalm konsep dan etika peperangan dalam Islam antaranya ialah larangan manakut-nakutkan orang ramai,melampau, membunuh wanita, kanak-kanak, orang tua yang sudah kabur pandangan, paderi-paderi, penjaga gereja, membakar pokok dan membunuh haiwan tanpa maslahah. Demikian juga difahami dari ayat ke 40 Surah al-Hajj:
Maksudnya: “Dan sekiranya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid yang di dalamnya banyak disebut nama Allah .”
Tuntutan itu sebenarnya adalah supaya Islam mendominasikan seluruh suasana dan kekuasaan pemerintahan agar manusia dapat melihat kehebatan dan keagungan Islam lalu mereka akan menerima Islam sama ada sebagai agama anutan atau sebagai pemerintahan yang adil dengan secara rela. Firman Allah s.w.t. Surah at-Taubah, ayat 40:
Maksudnya:
“Dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah dan kalimat Allah itulah orang-orang tinggi.”
Tuntutan menzahirkan agama ini dijelaskan sehinggalah dalam soal peperangan. Tujuan peperangan dalam Islam sendiri adalah untuk memastikan bahawa Islam menjadi penentu dalam percaturan politik dan hidup manusia. Firman Allah s.w.t.:
Maksudnya:
“Dan perangilah mereka (orang-orang kafir) sehingga tiada lagi fitnah dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya menjadi semata-mata untuk Allah.” (al-‘Anfal : 39)
Menurut Saiful Islam, maksud dari perkataan ‘perangilah’ adalah agar kekufuran tidak melata dan agar din Allah di atas segala -galanya, sehingga din al-Islam ada di mana-mana.
PERJUANGAN TIDAK BERNOKTAH
Islam sentiasa menghadapi tentangan. Hasil daripada dua factor di atas, lalu timbul pula reaksi di kalangan manusia yang enggan tunduk kepada seruan dakwah Islam. Reaksi itulah yang menyemarakkan lagi pertentangan di antara Islam dengan musuh-musuhnya.
Contoh yang paling ketara daripada sirah Rasulullah s.a.w. ialah apabila baginda berdakwah dengan orang ramai tentang Islam supaya mengucap syahadah La ilaha illa Allah, dua orang lelaki Badwi dari kalangan yang hadir berkata:
Maksudnya:
“Ini adalah perkara yang dibenci oleh raja-raja (pemerintah). Kerana inilah kamu akan diperangi oleh orang-orang Arab dan orang-orang ‘ajam (bukan Arab).”
Peristiwa ini menggambarkan bahawa penentangan terhadap Islam adalah perkara yang sentiasa berlaku sebagaimana ia telah berlaku ke atas nabi-nabi yang terdahulu. Namun faktor utama penentangan itu bukanlah kerana faktor batang tubuh individu atau golongan yang menyeru, tetapi kerana seruan Islam itu sendiri.
Sebagaimana Rasulullah s.a.w. sendiri ditentang bukan kerana peribadi baginda yang sudah terkenal sebagai al-Amin dan pernah diberi kepercayaan menjadi hakim menyelesaikan masalah perletakan Hajar al-Aswad dalam peristiwa banjir besar di Makkah sebelum kenabian baginda s.a.w.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya:
“Jihad itu berterusan sejak aku dibangkitkan sehingga umatku yang terakhir membunuh Dajjal.”
KONSEP KEMENANGAN
Kemenangan adalah satu perkara yang sentiasa menjadi matlamat dalam setiap perjuangan. Tidak kira perjuangan itu benar ( haq) atau batil, pejuang itu muslim atau tidak, masing-masing meletakkan harapan untuk mencapai kemenangan dengan berusaha untuk mengatasi yang lain.
Islam mempunyai pandangannya yang tersendiri tentang kemenangan, berbeza dengan konsep kemenangan dalam agama atau ideologi serta fahaman lain. Di dalam al-Quran, Allah s.w.t. menggunakan beberapa istilah kemenangan iaitu al-falah, al- fawz, al-nasr dan al-fath. Masing-masing mempunyai pengertian yang berbeza.
Kemenangan dengan istilah al-falah melambangkan kemenangan yang umum dan menyeluruh meliputi segala aspek individu, masyarakat umum, dunia dan akhirat. Kemenangan al-fawz pula digunakan secara lebih khusus kepada kemenangan atau kejayaan di akhirat. Manakala kemenangan al-nasr pula adalah kemenangan dalam jihad kerana membela agama Allah ke atas musuh-musuhNya.
A. Kemenangan di Dunia
Di dalam al-Quran, golongan yang memperolehi kemenangan dunia (al-nasr) ini disebut sebagai ghalibun dan dzahirun. Ghalibun memberi maksud orang-orang yang mengalahkan, manakala dzahirun bermaksud orang yang menang.
Kemenangan di dunia disebut juga al-fath. Istilah al-fath digunakan oleh al-Quran dalam banyak ayat yang menyentuh tentang kemenangan besar. Contohnya, Allah s.w.t. berfirman dalam Surah al-Fath ayat 1:
Maksudnya:
“Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata.”
Ulama’ sejarah menggunakan istilah al-fath (pembukaan) di dalam setiap kejayan tentera Islam menawan sesuatu wilayah kerana mengambil pengajaran dari al-Quran. Sifat penaklukan itu bukan pemaksaan dan penjajahan, tatapi ia adalah pendedahan manusia kepada Islam, pemerintahannya dan keadilannya. Kemenangan di dunia dapat dilihat dari beberapa aspek sebagaimana dinyatakan di dalam Surah al-Nur ayat 55:
Maksudnya:
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai Muhammad!) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang- orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh).”
Tiga bentuk kemenangan al-nasr yang dijanjikan itu adalah:
a) Mendapat kuasa pemerintahan di muka bumi dengan penguasaan pendukung-pendukung ke atas negara atau wilayah dan memeang tampuk pimpinan.
b) Menguatkan agama Islam dengan mengurniakannya wewenang untuk menentukan kehidupan manusia. Dengan kata lain, Islam menjadi asas kehidupan dan undang-undang dalam negara.
c) Mewujudkan keamanan dalam kehidupan setelah mereka berhadapan dengan pelbagai ancaman, rintangan dan risiko dalam mengharungi perjuangan.
B. Kemenangan di Akhirat
Kemenangan di akhirat (al-fawz) adalah kemenangan yang sbenar. Walaupun pejuang-pejuang Islam itu kalah atau gugur di medan peperangan atau sebarang medan perjuangan lain, namun pada hakikatnya mereka telah beroleh kemenangan. Kemenangan inilah yang menjadi matlamat sebenar di dalam perjuangan Islam.
Allah s.w.t. menawarkan kemenangan di dalam firmanNya dalam Surah al-Saff ayat 10 – 12:
Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman ( syurga) yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga “Adn”. Itulah kemenangan yang besar.”
Berdasarkan ayat di atas, kemenangan di akhirat itu meliputi empat perkara:
a) Mendapat jaminan keselamatan dari azab yang pedih di akhirat
b) Mendapat keampunan dari Allah s.w.t. atas segala dosa yang telah dilakukan
c) Dimasukkah ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai
d) Mendapat tempat tinggal yang baik khusus di yurga yang bernama ‘And
C. Kemenangan Adalah Janji Allah
Di dalam Islam, kemenangan adalah suatu yang pasti dan perlu diyakini oleh setiap muslim. Mereka perlu mengimani masa hadapan yang baik dan gemilang untuk Islam. Ini kerana terdapat banyak nas al-Quran dan al-Hadith yang memberitakan bahawa Islam akan berjaya pada suatu hari kelak. Ayat 55 Surah al-Nur tadi dimulakan dengan lafaz wa’ada bermaksud ‘telah menjanjikan’, di mana kemenangan di dunia (al-nasr) telah dijanjikan oleh Allah sebagai satu kemestian kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh apabila tiba masanya. Janji ini bukan sahaja dikhususkan buat umat Muhammad s.a.w., bahkan ia telah dinyatakan oleh Allah s.w.t. sejak zaman Nabi Daud a.s. lagi. Firman Allah s.w.t. dalam ayat ke 105 Surah al-Anbiya’:
Maksudnya:
“Sesungguhnya telah kami wartakan dalam kitab Zabur selepas peringatan bahawa bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hambaku yang soleh.”
Janji Allah s.w.t. ini disebut pula dalam hadith Rasulullah s.a.w.: Maksudnya:
Dari Tamim al-Dari katanya: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Akan sampai urusan ini (agama Islam) ke setiap tempat yang sampai padanya malam dan siang. Dan Allah tidak akan membiarkan walau sebuah rumah di Bandar dan perkampungan mahupun di pedalaman melainkan akan dimasukkanNya agama ini melalui kemuliaan orang yang mulia atau kehinaan orang yang hina. Dengan kemuliaan Allah memuliakan Islam dan dengan kehinaan Allah menghina kekufuran.” Tamim al-Dari menyatakan bahawa aku telah mengalami perkara itu dalam keluargaku, yang Islam mendapat kebaikan, kemliaan dan kehebatan, manakala yang kafir mendapat kehinaan, merasa kerdil dan membayar jizyah.”
Hadith ini menerangkan bahawa agama Islam akan berkembang seluas-luasnya ke setiap penjuru dunia. Janji Allah dan RasulNya ini telah berlaku untuk peringkat pertamanya dengan berlakunya pembukaan-pembukaan negara Islam dan berkembangnya wilayah taklukan Islam sejak zaman Rasulullah s.a.w. hingga kurun ke-14 Hijrah.
D. Kemenangan Adalah Pertolongan Allah
Persoalan pokok dan perkara pnting yang membezakan konsep Islam terhadap kemenangan dengan konsep-konsep agama, ideology dan fahaman lain adalah unsur pertolongan Allah, Islam amat menitik-beratkan hubungkait manusia Islam dengan Tuhannya dalam perjuangan bahkan dalam setiap aspek kehidupan.
Para pendukung perjuangan Islam sentiasa diingatkan tentang peri pentingnya bergantung kepada Allah dan menyakini bahawa kemenangan hanya datang dari Allah apabila dikehendakiNya. Allah s.w.t. berfirman dalam ayat 10 Surah Ali ‘Imran dan 126 Surah al-Anfal:
Maksudnya:
“Dan tiadalah pertolongan kecuali dari Allah.” (Al-Anfal: 126)
Al-Nasr dalam ayat ini memberi pengertian pertolongan dan kemenangan di dalam perjuangan. Allah s.w.t. mengaitkan persoalan kemenangan dalam ayat ini dengan pernyataan bahawa Allah Yang Maha Perkasa untuk menunjukkan bahawa Dialah yang berkuasa memberi kemenangan kepada orang-orang beriman walaupun jumlah mereka sedikit dan kelengkapan mereka kurang berbanding dengan pihak lawan.
Manakala pernyataan bahawa Allah Maha Bijaksana menegaskan bahawa Dialah yang lebih mengetahui bilakah masa yang paling sesuai untuk mengurniakan kemenangan dan sebab apakah kemenangan itu tidak diberikan dalam semua keadaan.
Setiap pejuang Islam perlu menyakini bahawa kemenangan adalah kurniaan Allah dan bergantung kepada izin dan kehendak Allah. Bila-bila masa Dia boleh mengurniakan kemenangan atau menarik nikmat itu dan memberikan kekuasaan kepada golongan lain.
Justeru, para pejuang Islam perlu mengambil berat hakikat ini agar kemenangan Islam itu dibina atas dasar kefahaman dan penghayatan Islam dalam mengisi kemenangan.
Hakikat ini dinyatakan dalam firman Allah dalam Surah Ali ‘Imran ayat 26:
Maksudnya:
“Katakanlah (wahai Muhammad) Ya Allah! Engkau pemilik segala kekuasaan, Engkau memberi kekuasaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau mencabutnya dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Dan Engkau memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.”

Adakah kita benar-benar beriman?

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman." [Ali-Imran:139]
Ayat ini diturunkan kepada Rasulullah SAW oleh Allah SWT sebaik sahaja selepas umat Islam mengalami kekalahan dalam peperangan Uhud dan kembali ke Madinah dalam keadaan berdukacita dan sedih. Ia diturunkan untuk memberi semangat kepada orang-orang yang beriman selepas kejayaan yang berada dalam genggamannya, telah ditarik daripada mereka dan ditukarkan dengan kekalahan
Dan kenapa Rasulullah SAW tidak boleh bersedih selepas kekalahan tersebut? Tujuh puluh dua dari umat terbaik di dunia ini pada masa itu telah terbunuh (syahid) dan sebilangan besar dari kalangan mereka mendapat cedera. Hatta Rasulullah SAW sendiri telah mengalami kecederaan yang serius sehingga darah mengalir dari muka baginda dan baginda bersabda semasa menyapu darah dari dagunya: "Amat besar kemurkaan Allah terhadap mereka yang telah melumuri muka Rasul-Nya dengan darah."
Walau bagaimanapun, kekalahan ini hanyalah bersifat sementara sahaja agar orang-orang yang beriman dapat merenung dan memikir tentang sebab kekalahan tersebut, sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat seterusnya dari surah Ali-Imran. Kesalahan dan dosa yang telah dilakukan oleh sebilangan kecil dari orang-orang yang beriman telah menghalang kemenangan yang sepatutnya dinikmati oleh seluruh tentera Islam.
"Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (kafir) itupun (pada perang Badar) mendapat luka yang serupa. Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu Kami pergilirkan diantara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah membedakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) supaya sebagian kamu dijadikan-Nya (gugur sebagai) syuhada'. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim. Dan agar Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir." [Ali-Imran:139]
Apabila Umar bin Al-Khattab (RA) mengirim bala tentera di bawah pimpinan Saad bin Abi Waqqas (RA) ke peperangan al-Qadisiyyah, beliau telah menasihati Saad: "Takutlah akan dosa kamu lebih dari musuh kamu kerana dosa kamu lebih merbahaya kepada kamu dari musuh kamu, Kita, orang-orang yang beriman akan hanya memperolehi kejayaan ke atas musuh kita kerana dosa mereka lebih besar dari kita, bukan di atas sebab lain. Jika dosa kita sama dengan dosa musuh, maka mereka pasti akan dapat mengalahkan kita kerana jumlah mereka yang ramai dan sumber mereka lebih banyak."
Dan dengan itu, maka Saad (RA) meneruskan peperangan menentang tentera Parsi dan berpegang kepada nasihat Khalifahnya, beliau telah memenjarakan Abu Mahjan Ath-Thaqafi yang didapati meminum arak agar kehadirannya tidak akan menangguhkan kejayaan tentera Islam. Sehingga Abu Mahjan melahirkan perasaan sedihnya di tempat kurunganya, lalu beliau mengarang sebuah sajak yang menyentuh perasaan isteri Saad (RA) sehingga beliau membebaskan sementara Abu Mahjan agar beliau dapat menyertai peperangan bersama-sama saudaranya yang lain.Lalu Abu Mahjan keluar ke medan pertempuran dengan menunggang kuda milik Saad (RA) kerana pada ketika itu Saad sedang demam. Abu Mahjan telah berjuang dengan penuh keberanian sebelum pulang ke tempat kurungannya di waktu petang dan memakai sendiri ikatan pada kakinya. Kejadian tersebut berterusan selama tiga hari sehingga Saad (RA) mendapat tahu tentang keberanian Abu Mahjan, beliau membuka ikatan Abu Mahjan sambil berkata: "Demi Allah! saya tidak akan mengurung engkau lagi kerana meminum arak!" Untuk itu Abu Mahjan menjawab, "Demi Allah! Aku tidak akan menyentuh arak lagi selepas hari ini!"
Mereka memperolehi kejayaan yang besar dan Saad (R.A) melantik seorang sahabat yang bernama Salman al-Farisi (RA) sebagai pemimpin baru Parsi, yang menerima gaji sebanyak satu dirham sehari.
Kemenangan dan kekalahan, keuntungan dan kerugian, kejayaan dan kemunduran bukanlah disebabkan oleh wang yang banyak, sumber, jumlah atau kepandaian. Sebaliknya ia disebabkan oleh ketaatan dan keingkaran kepada Allah SWT. Semakin banyak kita mentaati Allah, samada secara individu atau secara kolektif, maka semakin hampir kita kepada kejayaan dan kemenangan yang dianugerahkan oleh Allah SWT.
Semakin ingkar kita terhadap Allah SWT, maka semakin jauh kita dari mencapai kemenangan. Dosa seorang Islam akan menangguhkan kejayaan seluruh umat Islam. Amat mudah untuk menyalahkan musuh-musuh Islam seperti Bush dan Blair, Barat, golongan Kuffar atau sesiapa sahaja di atas kedukaan dan kerisauan kita. Kita melihat kejahatan dan penipuan musuh sebagai penyebab kekalahan kita. Tetapi tidak mudah untuk kita mencermin diri dan menuding jari kepada diri kita sendiri.
Lihatlah pada diri kita sendiri dan keadaan kita yang amat menyedihkan ini. Kita telah meninggalkan solat atau kita telah melenggah-lenggahkannya atau melakukannya dalam keadaan tergesa-gesa. Kita begitu kedekut untuk mengeluarkan zakat, apatah lagi untuk memberi sumbangan atau menderma. Berapa ramai dari kalangan kita yang tinggal di istana-istana sedangkan jiran kita masih lagi kelaparan. Kita lebih rela pergi bercuti ke luar negara daripada menunaikan haji. Kita juga sanggup pergi mengerjakan umrah setiap tahun sedangkan anak-anak jiran kita masih tidak berpakaian. Kita mengabaikan kebajikan anggota yang dilanda kedaifan, kesukaran dan kemiskinan.

Thursday, May 22, 2008

Adakah kita benar-benar beriman

Kita mencuri, merompak, menyamun dan juga kita menipu dalam urusan harian. Makanan kita haram, pendapatan kita haram dan jual beli kita haram.

Kita memukul isteri-isteri kita. Kita lebih cepat dan lebih banyak menghabiskan wang kita untuk fesyen dan kemewahan tetapi tidak sanggup memberi makan anak-anak yatim dan mereka yang benar-benar memerlukannya atau untuk digunakan dalam perjuangan.
Kita mendiamkan diri dan tidak berani mengangkat walaupun satu jari untuk membantah apabila melihat saudara kita dari kalangan umat Islam dipenjara, disiksa, ditahan dalam rumah, diekstradik atau dibunuh kerana takut dikaitkan dengan mereka. Kita juga mendiamkan diri apabila melihat harta benda saudara-saudara kita dimusnahkan.
Kita menghabiskan masa dengan menonton TV dan bermain apa sahaja permainan yang melalaikan kemudian kita mengadu bahawa kita tidak mempunyai masa yang cukup untuk menjadi umat Islam yang baik.
Kita terlalu ketagih kepada muzik daripada mencari lebih masa untuk mendengar bacaan atau menghafal al-Quran. Kita terlalu sibuk dalam hiburan dan mengumpul harta daripada memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan di bumi Allah. Dan selepas semua itu (dan banyak lagi), kita masih lagi memikirkan kenapa pertolongan dan kemenangan daripada Allah masih belum tiba. Dalam keadaan itu, bukankah kita lebih layak menerima hukuman daripada Allah dan bukannya kemenangan.
Setiap dosa yang kita lakukan akan menangguhkan kemenangan dari Allah. Setiap solat yang kita tangguhkan akan memanjangkan tempuh tahanan ISA.
Setiap saat yang kita lalaikan dari mengingati Allah SWT menyebabkan sebuah lagi masjid diruntuhkan.
Setiap jam yang kita buang dengan menonton TV menyebabkan seorang lagi umat Islam diculik dan diekstradik oleh tangan makhluk pemusnah.
Setiap masa yang kita habiskan pada sesuatu yang diharamkan, kita meletakkan rintangan pada kejayaan daripada Allah.
Dosa bukanlah suatu perkara peribadi di antara diri kita dan Allah sahaja tetapi satu dosa amat besar ertinya bagi kemenangan atau kekalahan. Setiap dosa yang kita lakukan merupakan satu lagi sebab kenapa Allah tidak menganugerahkan kepada kita keamanan, keselamatan dan kemenangan.
Allah SWT telah berjanji kepada kita dalam ayat yang telah disebutkan di atas:
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman." [Ali-Imran:139]
Allah menjanjikan keamanan, bantuan, kekuasaan dan kemenangan dengan syarat kita menjadi orang-orang yang benar-benar beriman kepada-Nya.
Jika kita mengalami kekalahan pada hari ini, bukanlah bermakna Allah SWT telah memungkiri janji-Nya, tetapi, soal yang perlu kita tanya diri kita sendiri ialah: Adakah kita benar-benar beriman? Wallahu ‘Alam.
Empat golongan lelaki yang ditarik oleh wanita ke neraka :-
Pertama:- Ayahnya - Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak memperdulikan anak-anak perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji dan sebagainya. Dia membiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat.. tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik oleh anaknya.

Kedua:- Suaminya - Apabila seorang suami tidak memperdulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan mahram, apabila suami mendiam diri.. walaupun dia seorang alim (solat tidak tangguh, puasa tidak tinggal) maka dia akan ditarik oleh isterinya.

Ketiga:- Abang-abangnya - Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh kepala abang-abangnya.. jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiar melencong dari ajaran ISLAM.. tunggulah tarikan adiknya di akhirat.

Keempat:-
Anak Lelakinya - Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram dari islam, maka anak itu akan disoal dan dipertangungjawabkan di akhirat kelak, nantikanlah tarikan ibunya…………………...

Wahai wanita!!!!, kasihankan ayah anda, suami anda, abang-abang anda serta anak-anak lelaki anda.............kasihankanlah mereka dan diri kamu sendiri……. jalankan perintah ALLAH S.W.T. dengan bersungguh-sungguh dan dengan ikhlas..

Monday, May 19, 2008

INSAN YANG CERDIK

MANUSIA CERDIK IALAH MEREKA YANG SENTIASA MENGINGATI MATI.
Setiap yang bernyawa pasti akan mati dan tidak akan terkecuali hatta Malaikat Maut Izrail a.s jua akan dimatikan oleh Allah s.w.t. Firman Allah Taala yang bermaksud :-

“Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.”

Oleh yang demikian kita hendaklah senantiasa mengingati mati sekalipun ada di kalangan manusia yang takutkan mati. Orang-orang yang yakin dan beriman kepada Allah dan Rasul-Nya senantiasa mengingati mati. Mereka adalah golongan yang cerdik dan pandai di mana Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

Abdullah bin Umar r.anhuma berkata, bahawa ketika sedang duduk-duduk di sisi Rasulullah s.a.w lalu datang seorang lelaki memberi salam dan bertanya kepada Rasulullah s.a.w: “siapakah yang lebih utama (lebih baik) di kalangan orang yang beriman?”. Jawab Rasulullah s.a.w: “orang yang lebih baik di kalangan orang beriman ialah mereka yang berakhlak mulia”. Kemudian lelaki itu bertanya lagi: “Siapakah orang yang paling cerdik di kalangan orang yang beriman?”. Jawab Nabi s.a.w : “Orang yang paling cerdik ialah mereka yang banyak mengingati mati, dan banyak membuat persiapan untuk menghadapi kematian”.

Orang yang banyak mengingati mati bererti akan sentiasa mengawasi diri dari melakukan dosa dan maksiat seperti berjudi, berzina, mengumpat, meninggalkan sembahyang dan puasa, menipu dan sebagainya kerana dosa dan maksiat akan membawa akibat buruk di alam barzakh dan lebih-lebih lagi di alam akhirat.

Setiap apa yang berlaku akan sentiasa merujuk terlebih dahulu kepada hukum Allah Taala, bukan seperti pepatah melayu ‘tepuk dada Tanya selera’ yang membawa erti hidup di bawah dorongan nafsu. Sebaliknya orang yang sentiasa mengingati mati akan sentiasa bertanya kepada imannya sendiri iaitu ‘tepuk dada Tanya iman’.

Andaikata dia seorang Ketua Rumahtangga dan sentiasa mengingati mati maka dia tidak akan mengabaikan dari melaksanakan tanggungjawabnya, memimpin anak-anak dan isterinya menurut petunjuk iman.
Andaikata dia seorang peniaga yang sentiasa mengingati mati, nescaya dia akan menjadikan dirinya tidak menipu dalam sukatan, tidak menyembunyikan kecacatan barang yang diniagakan, tidak menindas pengguna dengan mengambil keuntungan yang berlebihan dan sebagainya.

Andaikata dia seorang Pemimpin Negara dan Masyarakat yang sentiasa mengingati mati nescaya dia tidak akan menggunakan kekuasaannya untuk memuaskan nafsu untuk mengaut kekayaan dari harta Negara dan rakyat dengan memperalatkan kekuasaan yang dimiliki, untuk kepentingan diri dan kelompoknya.

Natijah dari mengingati mati itu akan melahirkan manusia yang berdisiplin tinggi, berakhlak mulia, tidak menipu, yakin kepada hukum Allah Taala, yakin bahawa rezeki adalah kurniaan Allah bukannya dari manusia, berani menyatakan kebenaran meskipun seorang diri, kerana kebenaran itu adalah dari Allah Taala dan sebagainya.

Orang yang mengingati mati akan sentiasa berusaha menambahkan ilmu terutamanya tentang ilmu yang berhubung dengan Allah Taala, kerana asas kepada keimanan ialah ilmu. Sebab itulah Allah Taala berjanji akan mengangkat darjat orang yang berilmu. Firman Allah Taala Yang bermaksud:

“ Nescaya Allah akan meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antaramu dan orang yang berilmu pengetahuan beberapa darjat.”

Orang yang tidak pernah dan lalai daripada mengingati mati adalah orang yang dangkal ilmu pengetahuan dan lemah, terutama dalam aspek kerohanian. Golongan tersebut sering menjadi tunggangan kepada hawa nafsunya sendiri, hidup dalam suasana lalai dan terpesona dengan kelazatan dunia yang bersifat sementara, sedangkan kesenangan akhirat itulah yang kekal. Jika ada manusia yang tidak memilih kebahagian yang kekal, nescaya mereka itu adalah terdiri dari orang yang bodoh dan dungu. Wallahu ‘Alam.

Semoga Allah SWT menunjukkan kepada kita sebaik-baik jalan dan petunjuk yang lurus.

TAFSIR AL-QUR’AN

. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sebenarnya maut Yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang mengetahui Segala Yang ghaib dan Yang nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa Yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)". : Munafiqun 8.

Saturday, May 10, 2008

SAOTUL HIKMAH risalah kesedaran ummah

Alhamdullillah, sekali lagi kita menyusun dan mengatur setinggi rasa syukur kepada Allah SWT kerana dapat berada dalam nikmat Islam serta lingkungan iman dan takwa . Inilah anugerah dan pilihan Allah kepada hambanya yang bertuah. Kita juga bersyukur kerana dapat memanfaatkan nikmat Allah dengan melakukan sedikit pengorbanan di mana Soutul Hikmah dapat dijadikan edaran mingguan sebagai bahan risalah Dakwah dan Tarbiah. Isi kandungan Soutul Hikmah meliputi tauhid, fiqah, tafsir, hadis, sirah, tip – tips pembangunan rohani, dakwah dan perjuangan. Semoga kehadiran Soutul Hikmah dalam siri-siri berikutnya ditangan pembaca melalui edaran menyeluruh ke masjid-masjid seluruh Parlimen Sungai Petani pada setiap Jumaat dan die-mail kepada sahabat-sahabat diseluruh dunia, ianya akan dapat disebarluaskan serta dimanfaatkan seoptimum mungkin. Bagi menjayakan cita – cita murni ini kita meletakkan Visi dan Misi yang mana diharapkan dapat kita dokongi bersama agar ianya dapat beristiqamah serta diredhai Allah swt.
VISI
MENYEBARKAN SERUAN ( DAKWAH ) DAN KESEDARAN ISLAM KEPADA SEMUA LAPISAN MASYARAKAT SECARA MUDAH DAN BERKESAN BAGI MEREALISASIKAN ISLAM SEBAGAI AGAMA DALAM KEHIDUPAN
MISI
MELAHIRKAN MASYARAKAT YANG CELIK AGAMA, YAKIN SERTA SANGGUP MEMBELA DAN MEMPERTAHANKANNYA. JUSTERU ITU KEMENANGAN DAN KEJAYAAN ISLAM DAPAT DIREALISASIKAN DALAM SEGENAP ASPEK KEHIDUPAN
Soutul Hikmah sengaja disediakan dalam Saiz A4 supaya ianya mudah dicapai dan ringan untuk dibaca oleh sesiapa sahaja. Dengan ini segala ilmu, maklumat yang disebarkan dapat sampai kepada sasaran secara mudah dan berkesan. Akhirnya harapan kita semoga segala kelemahan dan kekurangan dapat diperbaiki bersama. Kita juga mengalukan-alukan apa jua bentuk bantuan, sumbangan, bahan dakwah dan buah fikiran bagi menjayakan usaha yang kerdil ini. Semua ini bolehlah disalurkan melalui e-mail kami seperti yang tertera di atas. Sementara sumbangan dalam bentuk wang ringgit bolehlah disalurkan terus ke akaun PAS KAWASAN SUNGAI PETANI – BIMB No: 02020010009681.

Tadabbur Al Quran

105. dan Katakanlah (Wahai Muhammad) : Beramallah kamu ( akan Segala Yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang Yang beriman akan melihat apa Yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang mengetahui perkara-perkara Yang ghaib dan Yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa Yang kamu telah kerjakan".

ü Saranan, suruhan dan perintah Allah agar hamba–hambanya beramal (mengerjakan segala yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang )
ü Segala tindak tanduk , aktiviti dan gerakerja kita diketahui oleh Allah, tuhan yang mengetahui perkara ghaib dan nyata .
ü Seluruh amalan baik dan buruk yang dilakukan oleh manusia di atas muka bumi ini akan dibentangkan dihadapan Allah swt untuk dihisab & diberi balasan.

Imam Hassan Al Banna meletakan kedudukan amal ini dalam tiga perkara :-

1. Al Iman Al Amiq ( Iman yang mendalam ).
2. Ak Takwin addkhiq ( membentuk, membina ) individu, keluarga, masyarakat yang halus jiwa dan peribadinya cth sensitive terhadap dosa dan pahala, makruf dan munkar, hak & batil, syurga dan neraka, duniawie dan ukhrawie.
3. Al amal al mutawasil ( amal yang berterusan ).

Hanya jamaah muslimin yang tersusun dengan didikan tarbiah yang betul dimana susur galur dakwahnya bermula dari pembentukan individu, keluarga dan masyarakat, dapat membawa roh amal dalam jiwa ummah. Mereka berpegang kepada slogan aslih nafsak wad’u gharak walan fisolabainahuma ( perbaikilah diri , ajaklah yang lain jangan dipisahkan antara keduanya ).

Wallahu ‘Alam.

Semoga Allah SWT menunjukkan kepada kita sebaik-baik jalan dan petunjuk yang lurus.

TAFSIR AL-QUR’AN

Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan Kami taat": dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan. (an-Nuur: 51)